Wednesday, June 10, 2015

Ke Pulau Tioman Di Bulan Mei/Selaran Matahari

Aku kalau travel seorang, aku rasa rajin menulis. Kalo dengan orang lain, aku malas. Tak2, kalo bilangan seperti cukup untuk buat satu band aku okey. Entah, agaknya, kalau sorang rasa introspective. Tapi tengok keadaan. Kali ini sebenarnye aku mengikut rancangan kawan aku dan kawannye hendak ke Mersing. Fit in.

Aku baru balik dari Tioman ni. Tak bawak balik apa. Cuma bawak balik kulit terbakar dan semestinye kenangan. Akibat tak bawak sunblock. Moisturiser, ade cuma tahap 30. Memang teringat nak beli sunblock dengan tahap terkuat. Tapi tak beli. Ape kebende aje aku ni. Pengabaian minda.

Orang kata memang bijak pergi berjalan bawak kamera. Kamera canggih tapi taklah canggih sangat katenye. Aku baru beli kamera ni sebenarnye. Cuma yang lagi bijaksananye,aku tak beli memory card. Bijak, memang bijak. Pengabaian minda lagi sekali agaknye.

Aku nak cakap ni. Jangan ketawakan aku. Mak aku masih temankan aku tidur. Dan umur aku sudah 31 tahun ini. Tahun ini! Takkan aku nak halang mak aku. Aku cakap tak apa2. Dah biasa duduk berasing dari keluarga lepas darjah 6. Tapi sebagai emak, dia risau.

Kami semalaman di Mersing. Aku kena buat begini sebab feri awal pagi. Nak taknak kena bermalam jugak. Sapa nak hantar pagi2 buta ke Mersing ni. Kami naik bas dari Ulu Tiram ke Kota Tinggi. Kemudian, naik bas rock n roll Omnibus ke Mersing. Mak aku tanye pak cik bas berkenaan perkhidmatan bas ini. Jawab pak cik, ini last bas ke Mersing. Kami bernasib baik. Ini old skool bus. Bas besi yang kejap2 berhenti, kejap berhenti. Berhenti mengambil dan menurunkan penumpang. Dan bas ini tiada air cond. Diulang tiada air cond. Cuma angin semulajadi untuk menyejukkan badan. Apa salahnya, tak payah pakai air cond sekali sekala. Aku sebenarnye anti air cond. Dalam bas, aku tak tidur. Mungkin disebab angin segar menyapu pipi. Dalam bas agak penuh jugak, mungkin disebabkan hari minggu.

Dua jam perjalanan, akhirnya Magrib kami sampai di Mersing. Aku tau hotel yang aku tempah dekat dengan jeti dan stesen cuma aku perlukan kepastian. Mencari orang untuk bertanya. Sekali lagik dengan pakcik itu dengan isterinya. Jawab mereka, jalan terus saja, naik jejantas dan kemudian terus hingga hujung deret kedai sudah sampai. Baru aku perasan mata sebelah pak cik bas itu kelabu. Macam mana pak cik bawak bas itu. Ini misteri. Pak cik mempunyai kuasa!. Ini baru dikatakan pengalaman. Lain kali tambah aksesori penutup mata sebelah macam Flying Dutchman. Gurau pak cik, gurau.

Sambil2 berjalan ke hotel kami, kami menemui restoran untuk mengisi perut. Ada dua gerai dan kami memilih yang berdekatan tepian sungai.Dan lagik kami terjumpa pak cik bas tadi dan isterinya. Agaknya penat membawa bas seharian. Dengan mata sebelah macam tu lagik. Hmm. Restoran itu cuma menyediakan hidangan nasi lemak saja. Nasi lemak bersama ikan goreng selar kuning yang comel, ayam krispi berbentuk KFC atau telur goreng mata kerbau yang kelihatan kerinting di tepi. Aku memilih ayam krispi dan mak aku memilih telur goreng mata kerbau kerinting di tepi. Mak aku bercadang membelanjakan pakcik dan isterinya tadi. Pak cik itu dan isterinya berjalan di sisi kami dan mengucapkan terima kasih. Tiba2 makcik itu pesan kepada kami, jangan naik jejantas kerana jejantas itu tinggi. Mungkin mak cik itu terharu kerana mak membelanja mereka makan.

Setelah sampai di hotel, kami keluar sekejap membeli barang. Dan mak aku bercadang hendak singgah di kedai pakaian di sini. Aku mahu mencari selipar dan sabun mandi bersaiz comel. Kami masuk ke kedai 2 ringgit. Wau, semuanya murah! Mata aku menjadik bulat. Semua barang ada. Rempah kari 2 ringgit dan semua rempah ratus. Paket yang bersaiz besar juga murah dan harga ini kau takkan dapat di kedai runcit biasa. Kedai runcit di tempat aku pun tak dapat ni. Aku jumpe Sugus di sini macam aku jumpe harta karun. Gula sweet haw yang nipis tu pun ade. Gula2 zaman masa aku kecik. Memori mengimbau kenangan.Nampaknye tak sempat mak aku nak singgah kedai pakaian.

Dah tua tidur dengan emak. Haha. Katil sebenarnye katil single tapi agar besar dari regular single size katil yang biasa pakai kat rumah. Nasib baik dua2 pun badan tak berape besar. Mak aku tidur awal, dan aku masih menonton muvi. Malam itu sebenarnye aku tak boleh tidur sangat dan padahal mak aku telah diulit mimpi. Nampak gaya memang tidur ayam saja aku malam tu. Kebetulan kawan aku subuh nanti sampai nak tumpang membersih diri sebelum bertolak ke Tioman.

Pagi itu, setelah aku menghantar emak aku ke stesen bas Mersing, aku berjalan kaki ke jeti Mersing. Tambahan pula, hujan pagi itu renyai2.Selesai mengambil tiket yang perlu, kami berjalan ke jeti menunggu bot. Peh, pelancong memang ramai. Penuh tak penuh tempat duduk di jeti tu. Nasib baik ade tempat di antara tempat2 duduk antara tempat duduk yang penuh tu. Sementara menunggu, kelihatan budak kecik perempuan kacukan mat saleh asyik bermain dengan budak lelaki melayu. Mungkin bertemu jodoh semasa dewasa nanti? Bapak budak kecik sekadar memerhati dan kadangkala melayan kedua2 budak itu. Etnik ibu budak perempuan itu aku tak pasti. Macam dari Asia, macam dari Amerika Selatan. 

Aku sebenarnye tak sempat nak bersarapan. Time hujan begini menambah lapar. Nampaknya kami akan menaiki bot comel daripada feri ni memandangkan tempat pennginapan agak jauh sedikit. Hujan masih turun walaupun reda sedikit dari tadi. Aku dah aim duduk di luar mase sampai sebabnya  aku memang tak boleh. Tak boleh sebab muntah. Terkurung dan bergoyang. Peh, nampaknye kami kena penuhkan tempat duduk di dalam. Bot gerak je, aku keluar.  Dua jam lebih perjalanan, dua jam lebih la aku duduk kat luar. Dengan perut tak isi, memang agak pusing kepala aku ni. 

Mula2 aku duduk sebelah akak India. Kosong sebab laki dia melepak dekat tepi bot berborak dengan geng dia. Aku pandang ke lautan lepas. Merenung air laut yang laju menderu dilanggar bot. Aku memandang kosong. Aku cuba tak menghiraukan kepala dan perut aku. Bahagian luar bot, semua lelaki yang melepak. Aksi berborak dengan orang asing, menghisap rokok sambil melayan angin laut, tak menghisap tapi melayan angin laut jugak dan jugak aksi menangkap gambar2 pemandangan. Aku termasuk dalam aksi melayan angin laut kejap melayan blues, kejap2 menangkap gambar. Dua orang kawan pula sedang sedap melayan mimpi aku rasa. 

Satu jam, mereka keluar ke tempat aku. Rupanya dia orang mencari aku yang menghilang. Aku mula bergerak duduk bersila di atas para berdekatan tempat duduk memandangkan tempat duduk di tepi bot sudah penuh. Mereka mengajak aku bergambar bersama. Aku cuba tidak menghiraukan kepala aku yang mula kosong seperti kosongnye perut ku. Dalam hati aku, bila nak sampai ni. Dah macam mantera dibaca dalam diam. 

Bot mula membelok meninggalkan pekan yang kelihatan dari jauh. Aku tak pernah ke pekan Tioman tapi aku agak itu dari jauh kelihatan bangunan2 yang menguatkan kemungkinan aku. Peh, jauh lagik rupanya. Atas nun hujung di utara. Waktu hampir tengahari, sampai saja kami dibawak oleh tuan rumah Puteri Salang Inn dan kami dibawa untuk mengisi perut di restoran berdekatan. Restoran Puteri Salang Resort dan ada satu saja restoran di situ. Sarapan dah jadik masa brunch dah cuma hidangan ringkas mee goreng. Makan bersama kopi panas. Kami berbual2 dengan abang Long dan abang Ngah. Aku rasa macam sesi suai kenal aje. Lantaklah.

Check in pada waktu seperti biasa. Bilik kami sedang siap dibersihkan sewaktu kami sampai. Mungkin baru lepas check out agaknya. Peh, siap ade kelambu untuk yg katil queenlah. Semua ada walaupun barang agak lama tapi selesa sebenarnye. Heater pon ade ni sebenarnya. Satu lagik, lantai berlekit. Orait, kami panggil diorang lap sekali lagik ni. Aku agak sabun yang diorang pakai ni. Oh ya, kami juga ada penyambut tetamu iaitu kuceng berbulu perang coklat yang diberi nama oleh kawan kami sebagai Brownie.

Bersiap2 untuk berlatih snorkelling. Berlatih dulu katenye. Ye, kami ada set time dengan abang Long ngan abang Ngah tadi tolong bawak kami ke pantai untuk snorkelling. Okey2, berlatih snorkelling dengan diorang. Mula2 kami pinjam snorkelling gear dekat kami menginap tadi. 10 ringgit sampai kitorang balik. Adek Wan ajar kami cara pakai life jacket dan google dengan betul. Pakai dengan betul maka selamatlah. Saiz kena betul samada satu pinggan, dua pinggan atau tiga pinggan katenya. Hmm. Haha. Selesai pengenalan cara memakai alatan snorkelling, kami bertolak ke pantai. Aku simpan kunci di kotak kaunter pendaftaran. Adek Wan sama adek Nik tegur, apesal nampak muda. Macam 20 an. Aku kata, macam budak2 eh. Dorang macam tak percaya. Ini memang real dik. Untuk nampak muda kau kene menjiwai muda. Aku sekadar senyum sebelum aku membuka mulut dan mula merepek.

Abang Ngah kasik kami pinjam kamera comel yang boleh dibawa masuk air. Nampaknya abang Ngah percaya dengan kami. Yang mengikut kami sekali jugak adalah abang Chik. Kami tak tahu berenang sebenarnye. Kawan aku dua orang lagik diorang okey, aku aje nervous. Nak dibandingkan aku, lagiklah, dah lame tak mandi laut ni. Maka, keyakinan diri agak berkurang sikit berbanding kawan aku lagi dua orang tu. Terus2 masuk laut, terus berenang. Makin ke tengah, ke tengah. Aku sudah nervous. Tak boleh aku camni. Abang Chik ni bawak aku macam aku sudah konfiden tapi aku sebenarnye belum. Aku tak pernah merasakan berenang sebegini penat. Dengan kadang2 nya air masok dalam hidung. Janggal sungguh rasenye bernafas ikut mulut. Padahal bukannya aku tak pernah praktis time hidung aku tersumbat. Dari segi ini, aku tafsirkan minda aku tak cukup tenang. Sebab kau rasa otak kau ni dah sesak keje yang kau tak suka. Aku tak suka guna perkataan benci sebab aku rasa perkataan itu terlalu kejam. 

Kawan aku berdua bersama abang Ngah. Diorang aku nampak memang menikmati aktiviti snorkelling. Memang benar lah aku ni stres sebabnya aku tak boleh fokus. Stres buat aku kurang yakin da kurang fokus. Releks dan cuba untuk melepaskan. Kami berenang ke platform plastik yang berada agak jauh dari pesisir pantai. Aku dan abang Chik sampai dulu. Agaknya dia dari tadi push aku berenang2 tak habis2 tadi,sampai agak lenguh aku. Kami berehat sebentar sementara menunggu kawan aku yang sedang menikmati snorkelling mereka. Abang Chik mencelah serupa bertanya, “Ada rokok?”. Dia selamba dan aku blur sebab aku penat. Dah lama sangat wey tak masok air ni. Aku cool tapi sesetengah perempuan sure buat muka pelik dan annoy apabila laki2 meminta rokok. Dalam hati mereka mungkin, ape hal kau tanya aku soalan begitu kat aku? Kau ingat aku merokok ke? Tak pun dah buang tebiat yang aku ni merokok? Tapi aku tak. Aku releks dan aku taknak teruk masuk kesimpulan. Aku cuma buat takde perasaan saja. Dia sengih bila aku tak jawab apa2. Tapi dari celah sinaps otak aku, aku rasa sedikit sense of acceptance. Laki2 mintak rokok pada laki2, itu biasa. Itu kasual. Laki2 mintak pada perempuan mungkin tak sopan sebab jarang2 perempuan merokok dan kedua, laki2 meminta pada perempuan macam duit ke, atau apa2 barang macam laki2 ni takde kuasa. Macam laki2 itu mengharapkan perempuan.Setiap benda membawa maksud berbeza. Nilai pinjam barang tak sama dengan nilai meminjam duit. Tapi pada aku tak, itu maksudnya we are good, we are even atau kita equal. Aku taknak pikir kau tinggi rendah. Aku tau orang tafsirkan berbeza. Terpulanglah pada korang. Aku taknak berfikiran terlalu sempit atau terlalu luas. Pada aku, aku campur saja semua orang. Tapi hati2 tetap ada. Sebab itu kadang berbual pak guard dengan makcik pasar lagi senang dengan orang muda. Serius aku cakap ni. Kadang 2 aku rasa banyak sangat nak berdebat. Semua benda nak rush. Maafkan aku kalau aku tersasar jauh sebab mendeepkan nilai sesuatu benda ni.

Abang Chik rupenya garang jugak. Dan agak pedas jugak dia ni. Haha. Abang Chik suruh aku ikut dia cakap dan tanam dalam kepala aku, Awak Takkan Tenggelam. Diulang banyak kali. Haha. Beberapa kali aku cakap dan kemudian, praktis suruh bertenang dalam air. Abang Ngah cakap aku kena dera bila nampak aku dah mula bersin2 dan hidung aku mula tangkap leleh. Rakam video kejap dan tangkap gambar dan kami mula bergerak pulang untuk makan malam. Brownie seperti biasa ada di kawasan rumah penginapan kami dan bertindak sebagai pengawal menjaga rumah kami. Kawasan malam di sepanjang jalan ke restoran agak gelap. Memang kena bukak lampu suluh ni. Oh ya aku lupa, periuk api hasil monyet di sini berwarna hijau bukan coklat. Maka, kami kena berhati-hati memijak rumput. Periuk api hijau ni payah nak nampak.

Lauk malam macam makan nasi kat umah. Lagik sedap dari lauk siang. Aku puas hati. Abang Ngah dan abang Chik kadang2 datang menegur kami. Diorang ni memang rajin menegur, jadi memang peramah. Abang Long sedang sibuk mengurus makanan di dapur. Tambahan pula, abang dreadlock sama abang serupa faizal hussein jugak sibuk melayan tetamu yang semakin ramai. Aku pulak semakin menjadi2 bersin kesan snorkelling petang tadi. Badan mula naik panas la ni.Tapi malam itu aku ditugaskan untuk menghabiskan hidangan makan malam. Hidangan buah-buahan abes aku sapu. Selesai, kami sambung bersiar2 di tepi pantai sambil2 survey cenderamata. Biasalah, tepi pantai ni keja berjalan sambil angin malam. Dan kebetulan malam itu bulan mengambang. Awan berbalam2 dengan cahaya bulan. Berjalan ke kiri bahagian pantai dan kami duduk. Berjalan ke kanan bahagian pantai dan kami duduk. Tiba2 muncul arnab comel di celah2 bawah para yang berdekatan. Tuan resort ni bela agaknya. Kami cuba tangkap tapi payah jugak nak dapat ni. Biasalah, sambil2 duduk ambil gambar jugak. Berjalan jugak hingga ke jeti dan termenung memandang laut. Melayan angin lalu.

Besok pagi sambung lagik snorkelling di Taman Laut. Bagi makan ikan. Bawak bekal nasi goreng ayam. Pagi itu, aku sudah pesan pada kawan aku, korang saje pergi. Aku sejak petang semalam kena panas dalam. Dalam kepala aku dah membayangkan baca buku, tidur,dengar radio di beranda. Aku terpikirkan mau pinjam gitar daripada budak2 ni. Amboi2. Tapi akhirnya, aku pergi jugak. Awal2 memang aku tak turun. Ada jugak akak yang aku agak datang bersama suaminya. Minit2 pertama turun sekejap, kemudian naik. Aku paham. Namun, pada aku agak rugi di situ sebabnya dia ada suami yang boleh membantu. Pada aku, untunglah sekurang2nya ada suami yang boleh membantu snorkelling. Duduk memberi ikan makan. Ikan2 agak lapar aku rasa disebabkan diberi makan sekali sehari. Hmm. Kami berehat sebentar di tepi pantai untuk makan tengah hari dengan dibekalkan nasi goreng bersama ayam goreng . Apahal kering benar rasenya ni. Telan jugak aku. Kemudian, kami sambung dibawa tempat snorkelling yang lain. Ada jugak dibawa ke tempat yang agak dalam dengan melihat air laut berwarna biru yang lebih gelap berbanding tempat yang dilawati tadi. Aku turun di lokasi snorkelling terakhir bersama kawan aku. Haa ini cikgu senang faham. Kawan aku banyak membantu aku cara2 snorkelling. Jumpa jugak aku ikan belut belang2. Mula2 aku ingatkan ular laut. Haha. 

Kami pulang ke chalet membersih diri dan semestinye Brownie menunggu setia di pintu chalet. Situ memang kawasan monyet dan kau tahu2 sajalah. Makanan tinggal sekejap di luar pun dah kena rembat. Lepas tu, hentam tidur sampai ke petang. Kepenatan dan kurang tidur pun ye jugak. Malam sambung makan ikan bakar pula. Sekali lagik, aku ditugaskan untuk menghabiskan makanan. Makan malam memang sedap. Sambil2 setel gambar kamera petang tadi. Budak2 sini memang peramah cuma aku je tak pandai bercakap. Haha. Nasib baik kawan2 aku boleh tahan peramah diorang ini. Selepas itu, kami sambung berjalan di tepi laut dan survei2 cenderamata. Aku jarang2 beli cenderamata sebenarnya. Lebih kepada kurang sebenarnye. Kemudian, kami singgah minum di cafe. Cafe sini agak meriah disebabkan kedudukan hampir dengan jeti dan berdekatan pantai. Seperti biasa, penuh dengan pelancong. Balik, kami singggah semula di restoran biasa kami makan untuk setelkan kamera. Aku singgah sebentar untuk caj hp aku yang asyik demam. Mujur ada pengecas lebihan untuk aku pakai. Ni sebenarnye kena bayar sewa pakai ni, kata abang dreadlock. Aku iyekan aje. Haha. Aku ternampak iPod comel yang sedang bertugas. Yang aku musykil, sejak bila iPod ni nampak bulky. Agaknya zaman2 pengenalan iPod aku rasa ni. 

Pagi. Pulang barang2 snorkelling dan ucapkan selamat tinggal kepada kakitangan chalet tempat kami tinggal. Padahal, aku nampak cuma tiga je kakitangan je ni.Sarapan kuew tiau kicap sambil menunggu bot kami datang. Semua belum bangun kecuali abang Long yang menyambut kami untuk bersarapan. Kelihatan abang kembar Faizal Hussein baru tiba untuk mengemas2 restoran. Abang Chik bangun tidur dengan bertuala tersangkut hendak ke restoran kemudian pulang balik. Mungkin sambung tidur balik. Abang Long melawa kami untuk sambung satu hari lagik tapi apakan aku daya aku bekerja dengan orang. Untung kepada kawan aku berdua itu manakala kalau aku kena beralasan MC gayenye. Sambil2 aku meninjau dari jauh kalau2 bot sudah sampai. Nampak sangat rupe malas nak balik ni. Haha. 

Setelah mengucapkan selamat tinggal, kami bergerak ke jeti untuk menunggu bot. Yang tiba rupanya feri bukannya bot. Feri ini agak selesa dari feri Langkawi yang aku pernah naik dulu. Feri ni singgah ke pekan Tioman untuk mengambil penumpang sehingga kelihatan penuh keadaan dalam feri tu. Kami keluar jugak mengambil angin di luar. Angin jangan cakap, agak kuat jugak sambil kedengaran ombak2 yang menderu di belakang kami. Kelihatan Pulau Tioman semakin jauh ditinggalkan. Para penumpang keluar masuk di belakang feri barangkali untuk mengambil angin sambil bersembang, merokok sambil bersembang atau diam melayan jiwa sengsara.

Sesampainya kami di jeti Mersing, kawan aku berdua terus membeli tiket untuk pulang ke KL dan di situ kami berpisah. Diorang ajak jugak aku makan tengah hari bersama tapi aku terpaksa pulang cepat disebabkan aku kena naik bas henti2 ni. Itu belum masuk waktu menunggu bas hendak gerak lagik. Hampir sejam jugak aku menunggu sebelum bas mula bergerak. Kali ini banyak pakcik makcik yang naik bas. Aku memikirkan apa salahnya buatkan air cond atau ganti bas baru untuk orang2 tua ni. Maklumlah orang kampung saja yang naik, kau pandang loco saja. Kedekut saja kampeni bas ni. Terlelap jugak dalam bas ini sambil bas bergerak menuju ke Kota Tinggi,persinggahan yang terakhir. Naik bas lagik hingga ke Ulu Tiram. Macam waktu aku balik keje saje bila sampai di Tiram. Heh.

Balik ini aku bawa satu lagik pengalaman dan jugak selaran matahari aku. Terima kasih kepada kawan aku Mai dan Mas kerana mengajak aku bercuti bersama. Maaf, kalau terdapat kekurangan pada diri aku. Not much a talker myself. Kerja aku skang masih memberi keserabutan kepada otak aku. Otak masih struggle untuk bertenang. Dan bercuti ini sedikit sebanyak memberi aku escapism sebentar untuk menenangkan diri sendiri. Terima kasih jugak kakitangan chalet dan restoran atas keramahan anda. Aku ingat nak buat mixcd bila mengingatkan diorang rajin bukak lagu tapi malas pulak aku. Dahla nak pos ke pulau pulak. Haha.

Bila dipikirkan balik, duduk di pulau ni menenangkan selagi anda tak rindu pada daratan.

*Aku saja letak nama gelaran tanpa nama ni sebenarnya. Haha.*